~SEMOGA MENDAPAT MANFAAT YANG BERGUNA DARIPADA BLOG INI~

Friday 23 November 2018

PENDAHULUAN

Malaysia adalah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian budaya yang mampu menarik minat sesiapa sahaja yang melihatnya. Dengan adanya kepelbagaian budaya ini, maka dapat mewujudkan masyarakat yang melengkapi antara satu sama lain. Walaupun negara Malaysia hidup dengan bervariasi kaum, budaya dan etnik, peperangan tidak berlaku dan masyarakat hidup dalam keadaan yang harmoni dan damai. 

Namun di dalam konteks pendidikan, kepelbagaian budaya tidak hanya dilihat dari segi etnik dan adat budaya sahaja malahan turut juga telah merangkumi skop yang lebih meluas seperti ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan juga lain-lain. Bukan itu sahaja kepelbagaian budaya juga boleh dikaitkan dengan budaya di dalam bilik darjah. Kepelbagaian budaya di dalam bilik darjah yang boleh dilihat dari aspek budaya belajar, budaya menghormati dan budaya nilam yang diterapkan oleh sesebuah sekolah tidak kira luar bandar mahupun sekolah di kawasan bandar. Hal ini wujud disebabkan beberapa faktor antaranya ialah faktor peraturan dan undangundang, waktu persekolahan, pengasingan pelajar, upacara dan keramaian dan matlamat sekolah. Oleh itu, kepelbagaian budaya ini mampu mencorak dan mengubah atau memberi impak kepada kehidupan seseorang berdasarkan budaya-budaya yang diterapkan. 

Justeru, pengurusan pelbagai budaya ini mempunyai pandangan yang sangat meluas. Sebagai pihak pengurusan yang mengurus akan hal-hal kepelbagaian budaya ini, perlulah menerapkan budaya-budaya yang berunsur positif sahaja yang mampu memberi kesan kepada para pelajar terutamanya dalam kehidupan harian mereka. Pelajar-pelajar masa kini sudah terpesong jauh dengan mengikuti budaya-budaya barat di mana mereka lebih terdorong untuk mengikutinya. Oleh itu, budaya-budaya yang berunsur ketimuran dan mempunyai nilai-nilai yang positif perlu diperkasakan dalam sekolah agar budaya-budaya tersebut dapat digunakan pada masa hadapan.

 Menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka edisi yang ke-4, perkataan “Pengurusan” didefinisikan sebagai pengawalan pengelolaan dan penyelenggaraan. Dengan erti kata lain, pengurusan boleh didefinisikan sebagai sebarang gabungan kemahiran-kemahiran berkaitan dengan pentadbiran, perancangan, pengelolaan, pengarahan, pengawalan, pengurusan bajet, kepimpinan dan penilaian dalam konteks perkhidmatan. Dalam pengertian umum, budaya merupakan seluruh cara hidup masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkah laku manusia yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi yang lain melalui proses pembelajaran. 

Konsep Pengurusan Budaya ialah satu konsep penyusunan dan perancangan yang teratur bagi sesebuah sekolah yang terdiri daripada pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang. Hal ini juga merangkumi dari aspek sosialisasi dan pendidikan. Dalam kajian ini, pihak kami telah melakukan perbandingan budaya antara sekolah bandar dan luar bandar. Hal ini kerana, sudah sedia maklum bahawa sekolah bandar dan di luar bandar mempunyai corak budaya dan latar belakang yang berbeza. 


No comments:

Post a Comment